Friday, January 8, 2010

Hukum Menipiskan Alis (Bulu Kening) Dan Menyambung Rambut

Menipiskan Alis


Salah satu cara berhias yang berlebih-lebihan yang diharamkan Islam, iaitu mencukur rambut alis mata untuk ditinggikan atau disamakan. Dalam hal ini Rasulullah pernah melaknatnya, seperti tersebut dalam hadis:

"Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan-perempuan yang mencukur alisnya atau minta dicukurkan alisnya."

(Riwayat Abu Daud, dengan sanad yang hasan. Demikian menurut apa yang tersebut dalam Fathul Baari)

Sedang dalam Bukhari disebut:

Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan-perempuan yang minta dicukur alisnya.

Lebih diharamkan lagi, jika mencukur alis itu dikerjakan sebagai simbol bagi perempuan-perempuan cabul.

Sementara ulama madzhab Hanbali berpendapat, bahawa perempuan diperkenankan mencukur rambut dahinya, mengukir, memberikan cat merah (make up) dan meruncingkan ujung matanya, apabila dengan seizin suami, kerana hal tersebut termasuk berhias.

Tetapi oleh Imam Nawawi diperketat, bahawa mencukur rambut dahi itu samasekali tidak boleh. Dan dibantahnya dengan membawakan riwayat yang tersebut dalam Sunan Abu Daud: Bahawa yang disebut namishah (mencukur alis) sehingga tipis sekali. Dengan demikian tidak termasuk menghias muka dengan menghilangkan bulu-bulunya.

Imam Thabari meriwayatkan, dari isterinya Abu Ishak, bahawa satu ketika dia pernah ke rumah Aisyah, sedang isteri Abu Ishak adalah waktu itu masih gadis nan jelita. Kemudian dia bertanya: Bagaimana hukumnya perempuan yang menghias mukanya untuk kepentingan suaminya? Maka jawab Aisyah: Hilangkanlah kejelekan-kejelekan yang ada pada kamu itu sedapat mungkin

(Fathul Bari: Bab Libas)

Menyambung Rambut

Termasuk perhiasan perempuan yang terlarang ialah menyambung rambut dengan rambut lain, baik rambut itu asli atau imitasi seperti yang terkenal sekarang ini dengan nama wig.

Imam Bukhari meriwayatkan, dari jalan Aisyah, Asma', Ibnu Mas'ud, Ibnu Umar dan Abu Hurairah sebagai berikut: "Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang menyambung rambut atau minta disambungkan rambutnya."

Bagi laki-laki lebih diharamkan lagi, baik dia itu bekerja sebagai tukang menyambung seperti yang dikenal sekarang tukang rias ataupun dia minta disambungkan rambutnya, jenis perempuan-perempuan wadam (laki-laki banci) seperti sekarang ini.

Persoalan ini oleh Rasulullah s.a.w, diperkeras sekali dan digiatkan untuk memberantasnya. Sampai pun terhadap perempuan yang rambutnya gugur kerana sakit misalnya, atau perempuan yang hendak menjadi pengantin untuk bermalam pertama dengan suaminya, tetap tidak boleh rambutnya itu disambung.

Aisyah meriwayatkan: "Seorang perempuan Anshar telah kawin, dan sesungguhnya dia sakit sehingga gugurlah rambutnya, kemudian keluarganya bermaksud untuk menyambung rambutnya, tetapi sebelumnya mereka bertanya dulu kepada Nabi, maka jawab Nabi: Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang minta disambung rambutnya."

(Riwayat Bukhari)

Asma' juga pernah meriwayatkan: "Ada seorang perempuan bertanya kepada Nabi s.a.w.: Ya Rasulullah, sesungguhnya anak saya terkena suatu penyakit sehingga gugurlah rambutnya, dan saya akan kawinkan dia apakah boleh saya sambung rambutnya? Jawab Nabi: Allah melaknat perempuan yang menyambung rambut dan yang minta disambungkan rambutnya."

(Riwayat Bukhari)

Said bin al-Musayib meriwayatkan: "Muawiyah datang ke Madinah dan ini merupakan kedatangannya yang paling akhir di Madinah, kemudian ia bercakap-cakap dengan kami. Lantas Muawiyah mengeluarkan satu ikat rambut dan ia berkata: Saya tidak pernah melihat seorangpun yang mengerjakan seperti ini kecuali orang-orang Yahudi, dimana Rasulullah s.a.w. sendiri menamakan ini suatu dosa yakni perempuan yang menyambung rambut (adalah dosa)."

Dalam satu riwayat dikatakan, bahawa Muawiyah berkata kepada penduduk Madinah: "Di mana ulama-ulamamu? Saya pernah mendengar sendiri Rasulullah s.a.w. bersabda: Sungguh Bani Israel rusak kerana perempuan-perempuannya memakai ini (cemara)."

(Riwayat Bukhari)

Rasulullah menamakan perbuatan ini zuur (dosa) berarti memberikan suatu isyarat akan hikmah diharamkannya hal tersebut. Sebab hal ini tak ubahnya dengan suatu penipuan, memalsu dan mengelabui. Sedang Islam benci sekali terhadap perbuatan menipu; dan samasekali antipati terhadap orang yang menipu dalam seluruh lapangan muamalah, baik yang menyangkut masalah material ataupun moral. Kata Rasulullah s.a.w.:

"Barangsiapa menipu kami, bukanlah dari golongan kami."

(Riwayat Jamaah sahabat)

Al-Khaththabi berkata: Adanya ancaman yang begitu keras dalam persoalan-persoalan ini, kerana di dalamnya terkandung suatu penipuan. Oleh kerana itu seandainya berhias seperti itu dibolehkan, niscaya cukup sebagai jembatan untuk bolehnya berbuat bermacam-macam penipuan. Di samping itu memang ada unsur perombakan terhadap ciptaan Allah. Ini sesuai dengan isyarat hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud yang mengatakan "... perempuan-perempuan yang merombak ciptaan Allah."

(Fathul Bari: Bab Libas)

Yang dimaksud oleh hadis-hadis tersebut di atas, iaitu menyambung rambut dengan rambut, baik rambut yang dimaksud itu rambut asli ataupun imitasi. Dan ini pulalah yang dimaksud dengan memalsu dan mengelabui. Adapun kalau dia sambung dengan kain atau benang dan sabagainya, tidak masuk dalam larangan ini. Dan dalam hal inf Said bin Jabir pernah mengatakan: "Tidak mengapa kamu memakai benang."

(Fathul Bari: Bab Libas)

Yang dimaksud [tulisan Arab] di sini ialah benang sutera atau wool yang biasa dipakai untuk menganyam rambut (jw. kelabang), dimana perempuan selalu memakainya untuk menyambung rambut. Tentang kebolehan memakai benang ini telah dikatakan juga oleh Imam Ahmad

(Fathul Bari: Bab Libas)

Dipetik dari Kitab Halal Dan Haram Dalam Islam oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi

Pandangan Para Ulama' Mengenai Ibn Taimiyyah

Di dalam Ahli Sunnah, Ibn Taimiyyah adalah tokoh yang paling hebat mempertahankan aqidah ahli sunnah dan menyerang hujah-hujah Syi`ah, maka cara terbaik untuk mempertahankan Syi`ah ialah dengan menghentam habis-habisan Ibn Taimiyyah. Hentaman itu pula akan dilihat lebih mantap dengan menggunakan nama ahli sunnah itu sendiri. Ini dengan cara diselewengkan fakta-fakta ulama, membuat pengkhianat ilmiah dan membohongi pembaca yang tidak mampu membuat penyelidikan. Tokoh pendakwah Islam yang terkenal di kurun ini, Maulana Abu al-Hasan `Ali al-Nadwi berkata dalam bukunya yang ditulis khas mengenai sejarah perjuangan Ibn Taimiyyah sebagai tokoh pemikir dan dakwah yang terbilang, bertajuk “Al-Hafiz Ahmad bin Taimiyyah:

”Sesungguhnya al-Imam Ibn Taimiyyah telah bangkit menjawab Syi`ah dalam banyak tempat dalam buku-bukunya. Dia telah benar-benar menunaikan tanggungjawab dengan kuatnya mempertahankan sunnah, aqidah ahli sunnah, al-khulafa al-rasyidin dan para sahabah yang mulia r.a. Di samping itu dia mengkhususkan menjawab Syi`ah dalam sebuah kitab khas, dinamakan “Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah” (ertinya: Jalan Sunnah Nabi dalam menolak pendapat Syi`ah dan Qadariyyah)
(m.s. 213 cetakan Dar al-Qalam, Kuwait).

Sebenarnya, golongan yang ingin supaya orang ramai menghukum Ibn Taimiyah sesat, kufur dan seumpamanya itu sedar, bahawa jika langkah ini berjaya maka sebahagian besar tokoh-tokoh umat dapat dileburkan, dan khazanah umat dapat dihancurkan. Antara murid terbesar Ibn Taimiyyah ialah al-Imam Ibn Kathir, yang terkenal dengan Tafsir al-Quran al-`Azim atau dikenali dengan Tafsir Ibn Kathir. Bacalah buku al-Tafsir wa al-Mufassirun, karangan al-Syeikh Husain al-Zahabi, dalamnya diceritakan bagimana Ibn Kathir begitu mencintai gurunya, Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan banyak berpegang dengan fatwanya. Kemunculan al- Imam Ibn Kathir, al-Imam al-Zahabi, al-Imam Ibn al-Qayyim dan lain-lain adalah antara sumbangan besar Ibn Taimiyyah dalam bidang kesarjanaan Islam. Musuh-musuh ahli sunnah telah sedia mengetahui hal ini, maka mereka sedaya upaya berusaha merobohkan khazanah ini. Oleh itu, mari kita lihat beberapa pandangan para ulama dan imam berkaitan peribadi Ibn Taimiyyah dan perihal keluasan ilmunya.

Daripada Al-Imam Sayuti:

Al-Imam Sayuti memasukkan Ibn Taimiyyah dalam senarai huffaz hadith (para hafiz hadith), dalam kitabnya Tabaqat al-Huffaz, al-Imam Sayuti yang bermazhab Syafi’i itu memperkenalkan Ibn Taimiyyah seperti berikut:
“Ibn Taimiyyah, seorang syaikh, imam, al-`allamah (sangat alim) hafiz, seorang yang kritis, faqih, mujtahid, seorang penafsir al-Quran yang mahir, Syaikh al-Islam, lambang golongan zuhud, sangat sedikit sepertinya di zaman ini,..salah seorang tokoh terbilang.

Memberi perhatian dalam bidang hadith, memetik dan menapisnya, pakar dalam ilmu rijal (para perawi), `illal hadith (kecacatan tersembunyi hadith) juga fiqh hadith, ilmu-ilmu Islam, ilmu kalam dan lain-lain. Dia daripada lautan ilmu, daripada cendikiawan yang terbilang, golongan zuhud dan tokoh-tokoh yang tiada tandingan..”
(m.s. 516, cetakan Maktabah Wahbah, Mesir).

Pandangan al-Zarqani Berkenaan Ibn Taimiyyah:


Al-Zarqani banyak memetik pendapat Ibn Taimiyyah dengan hormatnya. Antaranya di bawah tajuk Fawaid ma’rifah asbab al-Nuzul (faedah-faedah mengenali sebab-sebab turun ayat al- Quran), beliau menyatakan:

“Faedah yang kedua: membantu memahami ayat dan menolak kekeliruan, sehingga kata al-Wahidi: “Tidak mungkin dapat diketahui tafsir ayat, tanpa meneliti kisah dan sebab turunnya. Kata Ibn Taimiyyah: “Mengetahui sebab nuzul, membantu memahami ayat, kerana sesungguhnya ilmu mengenai sebab, menatijahkan ilmu mengenai apa yang disebabkan”
(rujukan: Manahil al-`Urfan, jilid 1, m.s. 109, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Ulasan Abu al-Hasan al-Nadwi:

Kata Maulana Abu al-Hasan al-Nadwi:
“Sesiapa yang ingin melihat lautan ilmu Ibn Tamiyyah keluasan pandangannya, penguasaannya, kekuatan hafalannya, ingatannya terhadap masalah-masalah (yang dibahaskan), kematangannya, ketelitiannya, kebijaksaannya dan kegemilauannya, maka bacalah kitab tersebut (Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam al-Syi`ah wa al-Qadariyyah)” (m.s. 215).

Pujian Ibnu Hajar al-‘Asqalani:

Ibn Hajar menyebut:
“Ibn Taimiyyah imam kepada semua para imam, keberkatan umat, yang sangat alim di kalangan ulama, pewaris para anbiya..” sehinggalah beliau megelarnya sebagai “Syeikh al-Islam”.
(jilid 1, m.s. 158-159).

Bahkan al-Zahabi menyenaraikan gurunya itu di dalam kitabnya Tazkirah al-Huffaz yang dikhaskan untuk para hafiz dalam hadith. Beliau memuji Ibn Taimiyyah dengan pujian yang sangat hebat juga menggelarnya dengan gelaran Syeikh al-Islam, antara katanya:

“Ibn Taimiyyah: seorang syeikh, imam, al-`allamah (sangat alim), al-hafiz (dalam hadith), seorang yang kritis, mujtahid, penafsir (al-Quran) yang mahir, beliau ada lah Syeikh al-Islam….dari lautan ilmu, dari para cendikiawan yang terbilang, dari golongan zuhud yang sukar dicari, dari tokoh-tokoh yang berani dan pemurah lagi mulia, dipuji oleh penyokong dan penentang”
(jilid 4, m.s. 1496, cetakan Haidar Abad, India).

Penafian al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah r.h. Bila Dituduh Beliau Membenci Ibn Taimiyyah:

Seorang muhaqqiq yang dihormati di kurun ini, iaitu, al-Syeikh `Abd al-Fattah Abu Ghuddah r.h.:

“Bukti yang kuat (bahawa aku tidak membenci Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim) ialah aku telah penuhi kitab-kitabku dan ulasan-ulasanku dengan pendapat-pendapat Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan al-Imam Ibn Qayyim-semoga Allah merahmati keduanya-. Aku telah berkhidmat untuk kitab-kitab al-Imam Ibn al-Qayyim dengan menyebar dan mentahqiqkannya, -seperti yang telah disebutkan-. Aku juga telah menyokong dan membela mereka berdua. Aku menyebut mereka dengan penuh sanjungan dan hormat pada berpuluh-puluh tempat di dalam kitabkitabku.

Sepertimana yang jelas sebelum ini tanpa sebarang keraguan lagi. Adapun al-Syeikh al-Khauthari r.h., semoga Allah mengampuni kita dan juga dia, tidak menyukai kedua imam ini. Itu adalah pandangan dan ijtihadnya. Sekiranya aku ini berpegang dengan setiap yang dia kata, tentu aku juga akan tidak menyukai kedua mereka (Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan al-Imam Ibn al-Qayyim) lalu mengikuti sikapnya terhadap mereka berdua –Allah rahmati keduanya. Namun apa yang berlaku membuktikan sebaliknya….”

Sehingga katanya

“.. segala puji bagi Allah yang telah mengurniakanku dapat membezakan antara yang pendapat yang boleh diterima dan ditolak. Aku akan mengakui apa yang aku lihat benar berdasarkan kefahamanku, sekalipun ianya datang dari seorang yang rendah kedudukannya. Aku akan tinggalkan apa yang aku dapati menjauhi kebenaran, sekalipun ianya datang dari tokoh yang lebih besar dari al-Kauthari, yang terdiri daripada para ulama yang masyhur. Sekalipun aku seorang pengikut, segala puji bagi Allah di atas kurniaannya, namun tiada seorang pun yang mengikut segala-galanya, melainkan dia seorang yang ta`asub ataupun seorang yang bodoh”
(rujukan: Imdad al-Fattah, bi Asanid wa Marwiyat al-Syeikh `Abd al-Fattah, m.s. 657, cetakan: Maktabah al-Imam al-Syafi’i, Riyadh).

Luahan al-Syeikh Yusuf al-Qaradawi:

Jika kita perhatikan tokoh-tokoh umat pada zaman lalu dan kini, mereka banyak mengambil manfaat daripada khazanah Ibn Taimiyyah. Lihat al-Nadwi yang saya sebutkan di atas. Demikian juga al-Syeikh Yusuf al-Qaradawi pernah menyebut dalam bukunya Kaifa Nata`amul ma`a al-Sunnah:

“Al-Imam Ibn Taimiyyah ialah daripada kalangan ulama umat yang aku sayangi, bahkan barangkali dialah yang paling hatiku sayangi di kalangan mereka dan paling dekat kepada pemikiranku”
(m.s. 170, cetakan: Dar al-Wafa, Mesir)


ANJURAN MENYEBARKAN ILMU DAN MENUNJUKKAN KEPADA KEBAIKAN



Hadith 112 - Hasan

Dari Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah saw bersabda,

"Sesungguhnya di antara yang mengikuti seorang mukmin dari amal dan kebaikannya setelah kematiannya adalah ilmu yang diajarkan dan disebarkannya, anak shalih yang ditinggalkannya atau mushaf yang diwariskannya atau masjid yang dibangunnya atau rumah untuk ibnu sabil yang dibangunnya atau sungai yang dialirkannya atau sedekah yang dikeluarkannya dari hartanya pada saat dia sehat dan masih hidup, semuanya akan mengikutinya setelah kematiannya."

(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sanad hasan dan al-Baihaqi. Ibnu Khuzaimah juga meriwayatkan dalam Shahihnya yang senada dengannya)

Hadith 113 - Sahih

Dari Abu Qatadah ra, dia berkata, Rasulullah saw bersabda,

"Sebaik-baik peninggalan seseorang sesudahnya adalah tiga perkara: Anak shalih yang mendoakannya, sedekah jariyah yang pahalanya sampai kepadanya dan ilmu yang diamalkan sesudahnya."

(Diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sanad shahih)

Dari hadits Abu Hurairah,

"Jika anak cucu Adam mati maka terputuslah amalnya kecuali dari tiga hal: Sedekah jariyah atau ilmu yang dapat dimanfaatkan atau anak shalih yang mendoakannya."

(Diriwayatkan oleh Muslim)

Hadith 114- Sahih

Diriwayatkan dari Abu Umamah ra, dia berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda,

"Empat orang yang pahala mereka terus mengalir kepada mereka setelah mati: Seseorang yang mati dalam keadaan bersiap siaga (menghadapi musuh) dijalan Allah, seseorang yang mengajarkan ilmu maka pahalanya mengalir kepadanya selama ia diamalkan, seseorang yang mengeluarkan sedekah maka pahalanya mengalir kepadanya selama ia dimanfaatkan dan seseorang yang meninggalkan anak shalih yang mendoakannya."

(Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, al-Bazzar, ath-Thabrani dalam al-Mu'jam al-Kabir dan al-Mu'jam al-Ausath, ia shahih dari hadits beberapa orang sahabat ra)

Dipetik dari Kitab Shahih At-Targhib Wa At-Tarhib oleh Muhammad Nasiruddin Al-Albani.

Sunday, January 3, 2010

Berbuat Baik Terhadap Orang Lain, Melapangkan Dada

Kebajikan itu sebajik namanya, keramahan seramah wujudnya, dan kebaikan sebaik rasanya. Orang-orang yang pertama kali akan dapat merasakan manfaat dari semua itu adalah mereka yang melakukannya. Mereka akan merasakan "buah"nya seketika itu juga dalam jiwa, akhlak, dan nurani mereka. Sehingga, mereka pun selalu lapang dada, tenang, tenteram dan damai.

Ketika diri Anda diliputi kesedihan dan kegundahan, berbuat baiklah terhadap sesama manusia, niscaya Anda akan mendapatkan ketentraman dan kedamaian hati. Sedekahilah orang yang papa, tolonglah orang-orang yang terzalimi, ringankan beban orang yang menderita, berilah makan orang yang kelaparan, jenguklah orang yang sakit, dan bantulah orang yang terkena musibah, niscaya Anda akan merasakan kebahagiaan dalam semua sisi kehidupan Anda!

Perbuatan baik itu laksana wewangian yang tidak hanya mendatangkan manfaat bagi pemakainya, tetapi juga orang-orang yang berada di sekitarnya. Dan manfaat psikologis dari kebajikan itu terasa seperti obat-obat manjur yang tersedia di apotik orang-orang yang berhati baik dan bersih. Menebar senyum manis kepada orang-orang yang "miskin akhlak" merupakan sedekah jariyah. Ini, tersirat dalam tuntunan akhlak yang berbunyi, "... meski engkau hanya menemui saudaramu dengan wajah berseri." (Al-Hadits)

Sedang kemuraman wajah merupakan tanda permusuhan sengit terhadap orang lain yang hanya diketahui terjadinya oleh Sang Maha Gaib. Seteguk air yang diberikan seorang pelacur kepada seekor anjing yang kehausan dapat membuahkan surga yang luasnya seluas langit dan bumi. Ini merupakan bukti bahwa Sang Pemberi pahala adalah Dzat Yang Maha Pemaaf, Maha Baik dan sangat mencintai kebajikan, serta Maha Kaya lagi Maha Terpuji.

Wahai orang-orang yang merasa terancam oleh himpitan kesengsaraan, kecemasan dan kegundahan hidup, kunjungilah taman-taman kebajikan, sibukkan diri kalian dengan memberi, mengunjungi, membantu, menolong, dan meringankan beban sesama. Dengan semua itu, niscaya kalian akan mendapatkan kebahagiaan dalam semua sisinya; rasa, warna, dan juga hakekatnya.

"Padahal tidak ada seorang pun memberikan suatu nikmat kepadanya yang harus dibalasnya. Tetapi (dia memberikan itu semata-mata) karena mencari keridhaan Rabb-nya Yang Maha Tinggi. Dan kelak dia benar-benar mendapat kepuasan." (QS. Al-Lail: 19-21)

Dipetik dari buku La Tahzan oleh Dr 'Aid Abdullah Al-Qarni.